DAYA KEPEMIMPINAN RABBANI PENGETUA SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN AGAMA (SMKA)
Rahimah Hj Ahmad, Universiti Malaya, Malaysia
Abstract
Kertas ini membentangkan sebahagian dapatan kajian Tesis Doktor Falsafah untuk melihat daya kepemimpinan Rabbani pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di Malaysia. Kepemimpinan Rabbani merujuk kepada kepemimpinan yang menitikberatkan perkongsian tanggungjawab dan pertanggungjawaban dengan menunjukkan amalan kepemimpinan yang didorong oleh pertimbangan moral untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. Kaedah kajian adalah kaedah campuran, di mana data kuantitatif diperoleh melalui soalselidik yang direkabentuk sendiri oleh pengkaji, ditadbirkan kepada sampel kajian yang terdiri daripada 45 orang pengetua, dan 763 orang guru-guru pengurusan SMKA yang dipilih secara rawak struktur berkelompok. Data kualitatif diperoleh melalui temubual ke atas 12 orang pengetua yang dipilih mengikut jenis kepemimpinan yang ditentukan oleh analisis data kuantitatif. Dapatan kajian menunjukkan pengetua mempersepsikan tahap kepemimpinan mereka tinggi, sementara guru-guru mempersepsikan kepemimpinan pengetua pada tahap sederhana tinggi. Kekuatan daya kepemimpinan rabbani yang diukur dengan menggabungkan skor tahap kepemimpinan dan persamaan pendapat di antara persepsi pengetua dan guru-guru, menghasilkan empat jenis kepemimpinan rabbani yang diamalkan. Ini ditentukan oleh kepemimpinan pada tahap tinggi, pengetua dan guru bersependapat (Jenis I), kepemimpinan tahap tinggi, pengetua dan guru tidak bersependapat (Jenis II), kepemimpinan tahap sederhana tinggi, pengetua dan guru bersependapat (Jenis III), kepemimpinan tahap sederhana tinggi, pengetua dan guru tidak bersependapat (Jenis IV).
Kata kunci: Kepemimpinan rabbani, jenis amalan, pengetua, guru, SMKA.
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.